1) Di 10 malam
akhir ini, niat kita hanya satu sahaja. Semuanya adalah untuk memperolehi
keredhaan Allah SWT semata-mata. Tiada yang lain. Kejernihan, keputihan dan
keikhlasan kita dalam beramal adalah kunci utama kepada penerimaan amal oleh
Allah SWT.
(2) Kita semak dan
tentukan siap-siap tempat untuk kita lakukan ibadah. Ramai ulama menasihatkan
kita laksanakan fokus ini melalui iktikaf di masjid atau surau berhampiran
dengan rumah kita. Tentukan siap-siap lokasi masjid atau surau yang menjadi
pilihan kita. Kat rumah tidak boleh ka? Boleh, Cuma bimbang tidak menjadi
nanti.^^
(3) Ajak teman,
sahabat atau keluarga untuk sama-sama menjayakan rancangan yang istimewa ini.
Jika ada peneman, kita rasa lebih kuat, bersemangat dan terdorong untuk buat
bersama. Kebersamaan ini banyak manfaat dan kebaikannya.
(4) Jika boleh kita
susun untuk bermalam di masjid atau surau pada tiap-tiap malam di penghujung 10
malam terakhir Ramadhan. Sekiranya, tidak boleh kita letak keutamaan kepada
malam-malam yang ganjil. Tujuannya, agar wujudnya suasana, mode dan
persekitaran kondusif untuk “bermanja-manja” dengan Allah SWT
(5) Strategi dalam
beramal tentunya harus diperhalusi dengan bijak. Kepelbagaian bentuk-bentuk
amalan kerohanian akan memberikan kesan yang signifikan kepada kita. Tidak akan
rasa jemu, bosan dan terbeban. Justeru, qiamullail di malam hari bukan solat
semata-mata : kita boleh gandakan amalan dengan amalan seperti istighfar,
zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya.
(6) Jika mengantuk,
kita ambil wudhuk untuk menyegarkan semula badan kita. Namun, langkah terbaik
kita peruntukan masa rehat dan tidur sebentar di waktu siang untuk membolehkan
kita segar dan cergas di malam hari.
(7) Kita bersiap
sedia dengan zikir, doa dan hajat khusus yang telah kita rancang daripada awal.
Amalkan doa-doa yang mathur ( yang diajarkan oleh Rasulullah SAW) dan
hajat-hajat kita yang terbuku dihati. Luahkan, adukan dan nyatakan dalam setiap bait-bait lantunan
munajat kita di setiap tadahan tangan dengan penuh kesungguhan dan pengharapan.
Yakin sepenuhnya bahawa Allah SWT akan mengabulkannya.
semoga menjadi renungan kita bersama........







